Sunday 29 April 2012

Senarai Universiti PJJ Tempatan 

Kini hampir kesemua Universiti tempatan menyediakan medium untuk pembelajaran jarak jauh yang berkualiti dan setanding dengan program peringkat global.

Dibawah ini adalah senarai Univeristi yang terlibat dengan PJJ di Malaysia. Pilihan untuk mebuat yang terbaik ditangan anda. Anda yang menentukan masa depan anda!

  1. Universiti Sains Malaysia (USM)
  2. Universiti Putra Malaysia (UPM)
  3. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  4. Universiti Malaya (UM)
  5. Universiti Utara Malaysia (UUM)
  6. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  7. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
  8. Universiti Teknologi Mara (UiTM)
  9. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
  10. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
  11. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
  12. Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  13. Universiti Darul Iman Malaysia (UDM)
  14. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  15. Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  16. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
  17. Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
  18. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
  19. Open Universiti Malaysia (OUM)

KEBAIKAN DAN KELEMAHAN SISTEM PENDIDIKAN JARAK JAUH

Sepertimana yang telah diketahui umum bahawa sistem PJJ mendokong konsep pemisahan antara pengajar dan pelajar. Kemajuan sistem PJJ menjadi amat penting kerana sistem ini memberi pilihan pendidikan kepada golongan manusia yang mahu menimba ilmu dengan cara yang berbeza daripada pendidikan formal. Persoalannya sekarang, apakah kebaikan dan kelemahan sistem PJJ ini kepada pelajar-pelajarnya.
 

Antaranya adalah:
  • Memberi Peluang Kedua Kepada Pelajar .
    •  Pembangunan sosial dan ekonomi penting untuk memastikan taraf hidup yang senang bagi rakyat bagi sesebuah negara. Dengan kemajuan yang dicapai sekarang, didapati pelabur asing gemar melabur di Malaysia. Ini adalah kerana tenaga kerja di sini kebanyakannya terlatih, bertanggungjawab dan berpengatahuan. Keadaan ini merupakan satu galakan untuk menarik pelabur datang ke negara ini (Shireen Haron,Feb 1995).
    •  Sehubungan dengan itu, dengan adanya program PJJ ini ia dapat memberi peluang kepada mereka yang bekerja untuk meningkatkan kelayakan, kemahiran dan pengetahuan. Keperluan ini dapat memastikan perkembangan ilmu yang sihat demi  pertumbuhan ekonomi, sosial dan politik yang pesat(Mohd.Noor Saleh, 1994). Oleh sebab itu PJJ penting kerana program ini akan memperbanyakkan lagi rakyat yang berpengetahuan dan berilmu. Ini selaras dengan perkembangan sektor awam dan swasta di mana tanggungjawabnya semakin besar dan komplek. Sehubungan dengan itu, sektor ini memerlukan mereka yang berkeliber, berdedikasi dan berpengetahuan untuk memastikan mutu kerja dan perkhidmatan terus meningkat ke tahap keberkesanan yang optima. Sesungguhnya pendidikan itu penting dan harus dijadikan sebagai satu kegiatan yang berterusan dalam kehidupan manusia.
  •  Kemudahan Media
    • Bagi menjamin sistem PJJ berjalan dengan lancar, kemudahan media telah disediakan samada dalam bentuk media cetak ataupun media elektronik. Dalam sistem PJJ bahan utama yang digunakan ialah media cetak. Ini bukanlah bahan bercetak seperti buku cerita tetapi ia telah diolah dalam bentuk kendiri. Ini bermaksud bahan pengajaran ini telah direka supaya ia berkebolehan menyampaikan pelajaran dan meransang pembelajaran pelajar. Media-media yang lain juga digunakan seperti pita video,televisyen dan sebagainya (Rozhan Hj. Mohammed Idrus, 1994).
    • Dikebanyakan negara maju seperti Amerika dan United Kingdom, kebanyakkan institusi PJJ menggunakan pelbagai media penyampaian maklumat seperti radio,televisyen,video, komputer dan satelit dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran, pembelajaran dan prestasi pelajar. Segala peralatan untuk berkomunikasi seperti telefon, faksimili dan E-mail digunakan secara meluas. Persoalannya di sini adakah kos ditanggung oleh pelajar atau oleh institusi itu sendiri?. Setiap media penyampaian maklumat ini memberi kesan yang berbeza kepada proses pembelajaran pelajar. Menurut Anthony Bates (dipetik dalam Keith.H, 1993) teknologi yang digunakan hendaklah dipengaruhi oleh bidang tugas pelajar dan kos seharusnya rendah. Di sini kos memainkan peranan yang penting di mana pengajian jenis ini adalah di tanggung oleh pelajar itu sendiri. Walaubagaimanapun dengan adanyapelbagai media penyampaian maklumat, ini akan menambahkan minat dan motivasi pelajar untuk terus belajar dan seterusnya akan meningkatkan mutu pelajaran mereka.
  • Interaksi yang Minimum 
    • Tidak dapat disangkal lagi bahawa semakin luas jarak yang wujud dalam perhubungan PJJ, semakin kompleks dan mencabar peranan pensyarah dalam menggunakan segala sumber media komunikasi yang ada untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar. Pelajar PJJ jika dibandingkan dengan pelajar biasa mempunyai interaksi yang minimum bukan sahaja dengan pensyarah, tetapi juga dengan rakan sekuliah. Berkongsi fikiran dan idea di kalangan rakan sekuliah merupakan satu kegiatan yang sihat dan berfaedah dalam proses pembelajaran. Bagi sesetengah pelajar PJJ yang bernasib baik kerana mempunyai rakan sepejabat atau kenalan rapat yang sekuliah dengan mereka, maka boleh menubuhkan kumpulan kecil untuk belajar tetapi ada juga yang tidak bernasib baik untuk berbuat demikian. Ini akan menjadi masalah kepada pelajar PJJ. Proses pembelajaran dalam suasana"pengasingan" merupakan satu gejala yang tidak sihat(Shireen Haron, April 1995).
    • Bagi merapatkan jurang pengasingan ini mestilah wujud daya usaha dikalangan semua pihak yang terlibat khususnya institusi PJJ, pensyarah dan pelajar PJJ sendiri. Memanglah berfaedah jika pelajar PJJ mengambil daya usaha untuk mengadakan kumpulan kecil untuk berbincang tentang segala maklumat pembelajaran. Kaedah ini dinama ‘peer tutoring’ iaitu pelajar sekuliah mengambil daya usaha untuk membantu antara satu sama lain. Untuk berjaya dalam pendidikan seseorang pelajar itu haruslah berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain.
     
    • Pembelajaran Kendiri
      • Pembelajaran kendiri boleh dilihat sebagai usaha pembelajaran yang dilakukan oleh seseorang pelajar tanpa ada bimbingan terus daripada guru. Dalam kata lain pembelajaran kendiri bermaksud segala aktiviti pelajar dilakukan sendiri oleh pelajar tanpa pertolongan langsung daripada seseorang.Terdapat tiga ciri pembelajaran kendiri iaitu:-
        •  Guru dan murid terpisah secara fizikal pada kebanyakan waktu.
        • Komunikasi dilakukan melalui pertolongan media.
        • Pelajar terpisah daripada pelajar yang lain. 
       
      • Apabila pelajar bersendirian, bermakna pelajar perlu melakukan aktiviti secara kendiri
        atau tidak di bantu ole guru atau lain-lain pelajar secara berdepan. Ia juga memberi
        beberapa kelonggaran dan kebebasan kepada pelajar dalam memilih objektif pembelajaran, cara untuk belajar dan penilaian kepada pembelajaran. Pelajar juga
        bebas untuk menentukan masa dan tempat untuk belajar. Selain daripada itu dalam
        keadaan berjauhan dengan rakan-rakan pelajar yang lain, ia dapat mengelakkan
        pengaruh rakan-rakan. Ini bermaksud perbandingan di antara kemajuan dirinya
        dengan pelajar lain tidak akan berlaku(Ab.Rasid Mat Zin,1994).
      • Mengikut Wedemeyer (dipetik dalam Keegan 1986), kematangan seseorang pelajar
        kendiri itu sangat penting, iaitu peranannya dalam menentukan pengendalian aktiviti
        pembelajaran itu sentiasa diteruskan. Di sini pendorong utama ialah maksud dan
        tujuan yang hendak dicapai oleh pelajar, ianya perlu tahu dengan sejelas-jelasnya.dalam pengajian PJJ ini.
      • Isunya disini,adakah pembelajaran jenis ini benar-benar berkesan?. Seperti mana yang
        kita ketahui bahawa terdapat beberapa kebaikan dalam pembelajaran kendiri, namun
        tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga beberapa keburukan atau gangguan
        kepada pembelajaran ini. Gangguan disini bermaksud faktor fizikal dan psikologi
        yang mengganggu pembelajaran dan bukan menyekat pembelajaran. Di antaranya
        ialah:-
        • Persediaan diri
          Keadaan diri pelajar juga perlu bersedia untuk belajar. Dalam keadaan yang penat tentulah pelajar tidak dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Ini sering terjadi apabila pelajar baru balik dari pejabat atau selepas membuat aktiviti luar(Ab.Rasid Mat Zin,1994).  Menurut France Henri dan Anthony Kaye (dipetik dari Keegan D. 1993) terdapat 2 gangguan iaitu gangguan dalaman dan gangguan luaran. Faktor dalaman merujuk kepada perasaan marah, tekanan emosi dan takut dan manakala faktor luaran pula ialah keadaan yang panas, peralatan yang tidak mencukupi, bunyi bising dan sebagainya.
        • Tanggungjawab sosial dan ketenanganSebagai orang dewasa dan anggota masyarakat adalah menjadi kebiasaan untuk kita melibatkan diri dalam sebarang bentuk aktiviti kemasyarakatan. Ini serba sedikit akan menjejaskan ketenangan dan tumpuan kepada pembelajaran. Pergeseran peribadi di antara suami isteri, rakan sepejabat apatah lagi dengan ketua sendiri tentulah mengganggu ketenangan fikiran seseorang pelajar itu. 
        • Ketenangan dan ketenteraman sangat penting untuk pelajar menumpukan konsentrasi kepada sesuatu pelajaran. 
        • Masa merupakan masalah utama bagi pelajar PJJ. Hal sedemikian kerana mereka mempunyai pelbagai komitmen kerana kebanyakannya daripada mereka sudah berkeluarga dan mempunyai pekerjaan tetap. Isu penting ialah, bagaimanakah untuk memperolehi masa yang berkualiti untuk belajar dengan lebih berkesan?. Apakah yang dimaksudkan masa yang berkualiti?. Menurut Ab. Rasid Mat Zin, masa yang berkualiti bermakna menggunakan masa yang ada sebaik mungkin untuk mentelaah atau melaksanakan kegiatan pendidikan dengan berkesan. Masa tersebut mungkin memakan masa dua, tiga atau empat jam. Bagaimanapun, persoalan yang penting ialah apakah seseorang pelajar itu dapat belajar dengan berkesan?. Sesetengah pelajar mempunyai masa empat jam sehari untuk belajar tetapi tidak menggunakan masa tersebut dengan sebaik mungkin. Waktu belajar diselang-seli dengan perbualan dan sebagainya. Maka di sini masa selama empat jam tadi tidak digunakan dengan berkesan.  Pelajar harus mengatur masa untuk belajar dengan membahagikan masa untuk keluarga, kerja dan tugas yang lain.Sokongan ahli keluarga amat penting supaya pelajar dapat menetapkan masa untuk belajar dengan kerelaan ahli keluarga. Masa harus di kawal untuk memastikan penggunaan masa yang berkualiti untuk pembelajaran. Rancanglah masa dengan baik, senaraikan segala tugas, pekerjaan, temu janji dan masa untuk belajar dalam buku harian agar segala aktiviti berjalan dengan lancar dan sistematik.
        • Kos
          Dalam membuat apa jua pekerjaan atau aktiviti-aktiviti, kos memainkan peranan yang penting. Bagi sistem PJJ, tidak dapat dinafikan bahawa pelajar-pelajar amat
          memerlukan kos yang tinggi terutamanya untuk membayar yuran di sekitar RM1000 hingga RM4000 dan bagi memperolehi bahan bacaan dan penggunaan media. Kos ini memjadi bebanan kepada mereka kerana gaji yang diperolehi bukan sahaja digunakan untuk belajar malah untuk keperluan lain juga seperti untuk keluarga, keperluan harian dan sebagainya. Namun begitu hasrat untuk mendapat kejayaan, kemahiran serta pengetahuan tidak menghalang mereka untuk terus belajar demi masa depan yang cemerlang.

Sistem Pendidikan PJJ

Sistem Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) merupakan sistem pengajaran secara jauh, maknanya pengajar dan pelajar terpisah atau berada pada suatu jarak antara satu sama lain, ataupun tidak bersemuka. Dalam sistem PJJ bahan-bahan atau keseluruhan sukatan pelajaran disediakan dalam bentuk cetak atau bukan cetak dan dibekalkan kepada pelajar pada masa yang sesuai dengannya. Oleh itu pengajaran dan pembelajaran tidak berlaku pada masa yang sama iaitu tidak perlu berada di tempat yang sama atau berdepan dengan tenaga pengajar dan yang paling utama ialah pengurusan masa yang baik (Mohd. Noor Saleh, 1994).

Terdapat beberapa aspek yang telah menyumbang ke arah pertumbuhan dan perkembangan sistem PJJ. Di antaranya ialah:-
  • Kemudahan sokongan bertambah baik : 
    • Kemudahan sokongan amatlah diperlukan agar pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna. Di antara kemudahan yang dimaksudkan ialah perkhidmatan kaunseling kepada pelajar PJJ. Kaunseling kepada pelajar PJJ adalah perlu untuk membantu pelajar untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pendidikan PJJ dan memberi khidmat nasihat tentang perancangan serta strategi pembelajaran. Ia juga bertujuan untuk menangani sebarang masalah yang dihadapi samada masalah berbentuk akademik pelajar(Rozhan Hj. Mohammed Idrus,1994). 
    • Selain daripada itu terdapat juga alat sokongan yang lain seperti kewujudan bahan bacaan dimana ia dijadikan panduan utama bagi pelajar PJJ dan alat ini juga merupakan media paling lama digunakan. Televisyen dan audio kaset juga digunakan sebagai alat sokongan dalam sistem ini. Audio kaset digunakan adalah bertujuan supaya pelajar yang tidak ada masa untuk ke kuliah boleh mendengar syarahan matapelajaran yang telah dimuatkan ke dalam pita rakaman ini di mana dan tempat yang menjadi pilihan mereka (Shireen Haron,Jan 1995).
  •  Perkembangan komunikasi terbaru seperti komputer, video, telefaks dan sebagainya. 
    • PJJ merupakan sistem pendidikan yang menekan kepada konsep pendidikan sendiri, jadi di sini komunikasi amatlah perlu untuk melancarkan lagi proses ini. Komputer misalnya merupakan media penyampaian maklumat yang semakin pesat digunakan oleh institusi pengajian tinggi di seluruh dunia. Komputer mempunyai pelbagai fungsi,yang utama ialah sebagai wahana berkomunikasi, berinteraksi dan untuk memproses maklumat. Ia juga digunakan sebagai alat untuk membuat penyelarasan dengan berkesan ke atas maklumat yang diperolehi. Bagi sistem PJJ, komputer merupakan satu pilihan untuk merapatkan jurang pengasingan yang wujud antara pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan pensyarah (Ab. Rasid Mat Zin,1994).
    • Video secara umumnya boleh digunakan sebagai asas untuk meningkatkan penglibatan pelajar di dalam kelas. Apabila pelajar menonton video mereka dapat menghubungkan apa yang dilihat dengan apa yang dipelajari di dalam kelas. Dengan cara ini pelajar dapat menyoal sumber maklumat yang diperolehi dan menggalakkan pelajar untuk menganalisis maklumat yang diberi dan seterusnya dapat meningkatkan prestasi pelajar.
  •  Sokongan daripada kerajaan 
    • Kerajaan sememangnya menitikberatkan sistem pendidikan di Malaysia samada ia berbentuk formal ataupun tidak formal. Menurut Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (Utusan Malaysia,Nov 1997) mengajak semua negara anggota Persatuan Universiti-Universiti Terbuka Asia (AAOU) mempertimbangakan rancangan mengadakan PJJ melangkaui sempadan negara-negara anggota dan dan rancangan ini telah dilaksanakan maka tercapailah matlamat sasaran 40 % (peratus) penduduk negara anggota akan memperolehi pendidikan tinggi menjelang tahun 2020.
    • Selain daripada itu Kerajaan juga telah menubuhkan Universiti Multimedia berkonsepkan Pengajian Jarak Jauh yang berpusat di Koridor Raya Multimedia (MSC). Dengan ini jelas beliau, universiti ini akan menjadi tuan rumah dan akan bertindak sebagai pusat pentadbiran dan dapat memberi maklumat kepada lain-lain pusat pengajian.

Bagaimana ia dilaksanakan

Berbeza dengan pembelajaran secara tradisional, di mana pensyarah memberi kuliah dan pelajar mengambil nota secara bertulis, PJJ menggunakan berbagai teknologi moden dan innovasi canggih dalam mempersembahkan bahan pembelajaran kepada pelajar. Di antara teknologi dan innovasi ini adalah:-
  • Bahan pembelajaran bercetak yang dihantar secara pos. Cara ini lebih dikenali sebagai gaya pos. 
  •  Bahan pembelajaran yang diakses menggunakan Internet. Cara ini lebih dikenalisebagai pembelajaran dalam talian atau "on-line". 
  • Bahan pembelajaran yang disiarkan melalui siaran radio dan televisyen. Cara ini lebih dikenali dengan gelaran "radio dan tv pendidikan". 
  • Bahan pembelajaran yang dimuatkan ke dalam CD-ROM komputer dan akan diikuti oleh pelajar di komputernya sendiri. Cara ini lebih dikenali sebagai multimedia interaktif. 
  • Bahan pembelajaran yang dimuatkan ke dalam alat mudah alih seperti telefon bimbit dan komputer saku (pocket pc). Cara ini dikenali sebagai pembelajaran mudah alih atau mobile learning.

Konsep PJJ

Pembelajaran Jarak Jauh atau PJJ



Pendidikan Jarak Jauh adalah satu bidang pendidikan yang bertumpu kepada memberi pendidikan kepada pelajar yang tidak berada di satu lokasi setempat seperti di institusi pengajian tinggi atau IPT. Melalui PJJ pelajar dan pengajar berkomunikasi di waktu dan ketika yang berlainan yang sesuai dengan masa lapang mereka.

Konsep Pengajian Jarak Jauh

Pada prinsipnya kaedah PJJ mendokong konsep pemisahan antara pengajar dan  pelajar. Dengan itu pengajaran dan pembelajaran berlangsung melalui bahan-bahan pembelajaran kendiri dalam pelbagai media. Dalam konteks PJJ, pembelajaran kendiri membawa maksud bahawa pelajar belajar bersendirian, tidak bertemu muka selaludengan pengajar dan juga rakan yang lain. Pelajar PJJ bebas mempelajari sesuatu subjek mengikut selera ataupun kaedah masing-masing. Menurut Rozhan Hj. Mohammad Idrus (1994) terdapat dua ciri utama yang amat penting dalam pelaksanaan PJJ:

Segala pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara formal dapat dilaksanakan dan diseliakan secara jarak jauh iaitu dalam keadaan pelajar terpisah daripada pengajar. 

Tanggungjawab pembelajaran telah dipindahkan kepada pelajar itu sendiri. Dengan secara sendirian, pelajar akan belajar dan juga menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran bagi menambah dan memperolehi ilmu serta kemahiran yang dicari .

PENDIDIKAN JARAK JAUH DI MALAYSIA

Pengenalan


Sejarah PJJ di Malaysia
Di Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan pusat pengajian tinggi yang pertama menjalankan sistem PJJ sejak 10 tahun yang lalu. Pencapaian dan kejayaannya amatlah membanggakan. Pada tahun 1990 Universiti Teknologi Mara (UITM) pula telah menawarkan kursus-kursus peringkat diploma dan juga merupakan satu lagi pusat pengajian tinggi yang mempunyai tanggungjawab untuk mendidik rakyat Malaysia bumiputera menjadi profesional yang berkaliber, berdikari dan berilmu bagi mencapai pembangunan sosio ekonomi negara. ( Shereen Harun ,Jan 1995).
Begitu jugalah dengan Universiti Teknologi Tun Abdul Razak (UTAR), telah bekerjasama dengan Science Application International Corperation (SAIC) Amerika Syarikat akan mula menawarkan kursus-kursus secara ‘konsep universiti maya’. (Sunday Star, 16 Feb. 1997). Kesemua institut pengajian tinggi ini menawarkan kursus-kursus di peringkat ijazah dan diploma mengikut program pengajian jarak jauh.
Selain daripada itu terdapat juga cadangan untuk menubuhkan universiti multimedia berkonsepkan program PJJ oleh KUB Malaysia Berhad yang berpusat di Koridor Raya Multimedia (MSC). Dengan cara ini pensyarah dan pelajar dapat berinteraksi secara langsung dengan menggunakan peralatan multimedia sama ada di pusat berkenaan atau terus dari rumah pelajar berkenaan (Utusan Malaysia, Mei 1997).

Pendidikan Jarak Jauh di Malaysia


  • Sejarah PJJ di Malaysia
  • Konsep PJJ
  • Bagaimana ia dilaksanakan
  • Sistem Pendidikan PJJ
  • Kelebihan dan kekurangan PJJ
  • Senarai Universiti PJJ Tempatan